Monday, April 14, 2008

Matriks vs Diploma vs STPM

Matriks
ringkasnya, ia terbahagi kepada 2 kategori seperti juga STPM; sains dan kemanusiaan. Ada pengajian selama setahun (1, 1/4tahun) dan ada juga 2 tahun. Kemasukannya didominasi oleh pelajar bumiputera iaitu sebanyak 90% dan 10% selebihnya bagi bukan bumiputera menurut dalam kuota. Matrikulasi menjalankan sistem semester seperti di universiti.

Diploma
merupakan pengajian yang paling banyak ditawarkan terutamanya di IPTS-IPTS. Namun, perlu berjaga-jaga kerana terdapat sijil@diploma yang ditawarkan yang tidak diiktiraf oleh LAN(Lembaga Akreditasi Negara). Tempoh pengajian bergantung kepada kursus yang diambil (kebiasaannya 2-3 tahun).

STPM
STPM, terbahagi kepada 2 kategori iaitu sains dan kemanusiaan. Tempoh pengajian(jika di sekolah kerajaan) adalah selama setahun setengah. STPM boleh diambil oleh calon persendirian. STPM merupakan peperiksaan jenis tunggal dan tidak dijalankan dalam bentuk semester.

Thursday, April 10, 2008

STPM : Calon lulus naik 91.62%

KUALA LUMPUR 11 Mac – Sebanyak 56,896 atau 91.62 peratus calon lulus penuh sekurang- kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 berbanding 63,149 atau 90.87 peratus pada 2006.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata, keputusan tersebut menunjukkan prestasi pelajar yang mengambil peperiksaan itu meningkat sebanyak 0.75 peratus.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 3,687 atau 5.94 peratus dan 23,101 atau 37.20 peratus calon lulus penuh masing-masing dalam lima dan empat mata pelajaran yang diambil.

Bagaimanapun, hanya 25 calon mendapat gred A dalam lima mata pelajaran berbanding 34 orang pada 2006.

Seramai 66,047 calon menduduki peperiksaan itu dan sebanyak 23 mata pelajaran yang terdiri daripada 56 kertas soalan telah ditawarkan pada peperiksaan STPM 2007.

“Sementara itu, jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara. Di bandar, calon aliran Sains dan Sastera lebih baik daripada di luar bandar,” kata Dzulkifli ketika mengumumkan keputusan prestasi STPM dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang di sini hari ini.

Seramai 16 pelajar termasuk tiga calon kategori istimewa yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu menerima anugerah daripada MPM pada majlis itu.

Calon di kawasan bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A mencatatkan kadar 13.71 peratus berbanding calon di luar bandar iaitu 4.62 peratus.

Dzulkifli berkata, bilangan calon yang menjawab soalan dalam bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik pula mencatatkan peningkatan daripada 85.6 peratus pada 2006 kepada 91.9 peratus tahun lalu.

“Penggunaan bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran tersebut didapati tidak menjejaskan calon dalam peperiksaan STPM kali ini,” katanya.

Beliau berkata, MPM berpuas hati dengan keputusan keseluruhan peperiksaan tahun lalu kerana ia tidak banyak perbezaan dengan keputusan STPM yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, MPM akan memberi lebih penekanan kepada jurang yang wujud antara pelajar di bandar dan luar bandar pada masa depan.

Sumber berita : Utusan online-11/03/08

Saturday, April 5, 2008

Pindaan AUKU lahirkan mahasiswa matang

KUALA LUMPUR 25 Mac – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berharap pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dapat melahirkan golongan mahasiswa yang matang sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin masa depan.

Sambil menyambut baik hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk meminda AUKU tersebut, Setiausaha Agung PKPIM, Abdul Muntaqim Zulkipli berkata, langkah itu juga dapat mengembalikan hak kepada mahasiswa supaya mempunyai kebebasan untuk berpersatuan.

‘‘PKPIM berharap pindaan yang hendak dibuat terhadap AUKU akan memberi kebebasan kepada pelajar dan universiti dalam usaha melahirkan golongan mahasiswa yang matang dan mempunyai kemahiran sosial yang baik.

‘‘Penglibatan aktif mereka dalam persatuan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dapat memberikan kesan positif kepada masyarakat seperti yang digerakkan mahasiswa dalam era 1960-an dan 70-an,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muntaqim menambah, kelonggaran yang bakal dilakukan terhadap AUKU dapat digunakan mahasiswa sebagai medan latihan kepimpinan serta platform dalam menyalurkan kreativiti dan idea mereka dengan baik terutama berkaitan isu semasa.

Selain itu, katanya, pemindaan akta itu dapat meningkatkan kualiti pendidikan termasuk memberi kesan positif terhadap aspek pembinaan modul akademik mahasiswa serta perkembangan penyelidikan dan pembangunan.

Justeru, beliau berharap pemindaan akta tersebut dapat dibincangkan secara bersama membabitkan para intelektual tanah air selain tokoh akademik dan NGO agar ia dapat memberi kesan positif terhadap mahasiswa, negara dan masyarakat.